Salah satu fungsi utama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Nasional (NPFDB) adalah untuk mempromosi dan menjalankan aktiviti penyelidikan berkaitan penduduk, keluarga, dan kesihatan reproduktif. Sejak penubuhan, NPFDB telah melaksanakan banyak tinjauan dan kajian berkaitan ketiga-tiga bidang tematik ini dalam menghasilkan data berkualiti seterusnya melaksanakan analisis lanjutan. Hasil penyelidikan dan penemuan setererusnya digunakan untuk memberi nasihat kepada Kerajaan mengenai hal-hal yang berkaitan dengan dasar, program serta pembangunan modul intervensi demi meningkatkan tahap kesejahteraan penduduk dan keluarga amnya.
LPPKN percaya bahawa kaedah terbaik untuk memelihara dan menyebarkan maklumat dan mempromosikan hasil penyelidikan adalah dengan penerbitan. Sejak ditubuhkan, pelbagai produk penerbitan merangkumi buku-buku kajian, infografik dan POPinfo telah dihasilkan. Adalah diharapkan penerbitan LPPKN akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inovasi dan intervensi seterusnya memberi manfaat kepada pihak berkepentingan dan masyarakat.
Perkembangan kajian pendapat awam atau public opinion di Malaysia ketika ini adalah sangat memberangsangkan. Penglibatan beberapa institusi dalam kajian pendapat awam telah mewarnai landskap negara seperti Merdeka Center for Opinion Poll, Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) dan ILHAM Centre merancakkan lagi kajian pendapat awam di Malaysia. BPKK bermula tahun 2020 telah mengambil langkah dengan melaksanakan beberapa kajian pendapat awam dengan soalan-soalan yang dikemukakan adalah ringkas mengikut isu-isu semasa yang berlaku.
Pendapat awam didefinisikan sebagai pandangan umum tentang sesuatu isu dan polisi yang akan diambil kira dalam membuat sesuatu keputusan. Seorang sarjana, Hamdan (1987) memberikan definisi pendapat awam adalah pendapat majoriti, suara rakyat dan buah fikiran rakyat terbanyak yang menjadi perbualan yang hangat dan dan dibincangkan di media sosial, blog dan platform youtube. Melalui kajian pendapat awam, kita akan dapat mengetahui apakah yang difikirkan oleh masyarakat mengenai sesuatu polisi Kerajaan atau isu-isu sosial yang trending pada sesuatu ketika.